SPRM laksana titah Agong, tiada siapa kebal siasatan rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Bandar Enstek/Foto BERNAMA

BANDAR ENSTEK, 20 Januari – Tiada sebarang pilih kasih tanpa mengira pangkat atau kedudukan individu dalam siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM akan menyiasat kes rasuah tanpa pilih kasih, tidak kira pangkat atau kedudukan.
  • Tindakan diperkuat selaras titah Yang di-Pertuan Agong untuk pembersihan rasuah merentasi semua agensi.
  • Usaha membanteras rasuah meliputi penerima, pemberi, ejen dan pihak bersubahat untuk tindakan undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan bertindak lebih efektif dalam menyiasat kes rasuah, termasuk yang melibatkan agensi yang kini berada dalam siasatan.

Langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, yang menekankan keperluan mempergiat usaha pembersihan rasuah merentasi pelbagai sektor dan agensi.

Beliau berkata mandat yang diterima hasil titah berkenaan akan dilaksanakan sebaik mungkin, dengan tumpuan kepada pengukuhan siasatan dan tindakan terhadap isu rasuah secara menyeluruh.

Tan Sri Azam berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek dan Perasmian Pusat Latihan Asas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Bandar Enstek.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ketegasan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu kepada penerima semata-mata, sebaliknya meliputi pemberi rasuah, ejen serta mana-mana pihak yang bersubahat untuk disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.