fb fb fb fb fb

SPR terima pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi berkenaan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah hari ini berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

SPR dalam kenyataan memaklumkan, pemakluman rasmi itu diterima daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Haji Kadzim M. Yahya.

"Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.

"Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa)," menurut kenyataan itu.

Satu Mesyuarat Khas akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Datuk Harun, bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag, Sabah.

Mesyuarat itu akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta segala persiapan berkaitan pelaksanaan kedua-dua pilihan raya tersebut.

Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut berakhir.


MOHD FIRDAUS BIN RUSLI