BANDA HILIR, 1 Januari - Kredibiliti Selamat Pagi Malaysia (SPM) sebagai rancangan bual bicara yang hebat terbukti menerusi ulangtahun ke-40 tahun rancangan itu.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata pengisian yang kompak dan padat bersesuaian memandangkan ia bukan sahaja boleh ditonton di televisyen malah menerusi pelbagai platform media sosial.
Bagaimanapun katanya, usaha perlu dipertingkatkan untuk memastikan ia kekal relevan pada masa akan datang dan menepati selera penonton.
"Sangat berkesan kerana kita bukan sahaja ditonton di televisyen, RTM Klik jadi dan selain daripada itu kita ada adakan segmen-segmen tertentu kita letakkan di media-media sosial, jadi dengan cara sedemikian kita mendekati rakyat dan mendekati penonton kita dengan cara mereka mendapatkan informasi.
"Pada hari ini kita bukan tertumpu kepada kaca tv itu semata-mata kerana kita dah berubah selera penonton telah berubah dan cara mereka mendapat informasi telah berubah jadi kita kena mengikut trend," kata Suhaimi kepada pemberita selepas siaran khas Selamat Pagi Malaysia, di sini.
Siaran khas SPM di Melaka turut menampilkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam pada itu Suhaimi berkata, pelbagai pengisian menarik disediakan RTM menerusi program berita dan SPM dalam mempromosikan pelancongan sempena Tahun Melawat di empat buah negeri iaitu Melaka, Perak, Perlis dan Kelantan.
Katanya, fokus turut diberikan kepada daerah di negeri tersebut terutama dalam merungkai keunikan yang ada.
Ini berikutan RTM merupakan platform untuk membantu kerajaan mempromosi usaha yang dilaksana terutama dalam sektor pelancongan.
"Bukan sahaja negeri-negeri tetapi juga kita juga melihat daerah-daerah yang perlu kita angkat kerana SPM ditonton semua segenap lapisan masyarakat, jadi kita pergi di mana kita rasa ada sesuatu yang perlu diangkat supaya orang lebih tahu tentang daerah itu, tentang tempat itu jadi tidak semestinya terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja, jadi kita akan pergi ke mana-mana yang kita rasa perlu diangkat supaya ramai rakyat Malaysia lebih tahu tentang apa yang ada di negara ini," katanya lagi.
Tambahnya, pengiktirafan yang diberikan kerajaan negeri Melaka kepada RTM sebagai penyampai maklumat berkaitan Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) juga membuktikan kredibiliti stesen.