
PUTRAJAYA, 31 Mac – Bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 376 orang, berbanding 352 orang pada 2024.
- Pencapaian keseluruhan SPM 2025 menunjukkan peningkatan, dengan 13,779 calon atau 3.55% mencatat keputusan cemerlang.
- Jurang pencapaian bandar dan luar bandar mengecil; Gred Purata Kebangsaan bandar 4.40 dan luar bandar 4.81.
- Sebanyak 63 daripada 95 mata pelajaran meningkat, kumpulan sasaran merekodkan prestasi baik dan kadar gagal menurun kepada 0.42%.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, peningkatan itu antara petunjuk positif prestasi keseluruhan peperiksaan SPM 2025 yang turut menyaksikan pencapaian calon di peringkat nasional terus bertambah baik.
“Seramai 13,779 calon atau 3.55 peratus mencatatkan keputusan cemerlang dengan kombinasi A+, A dan A-.
“Seramai 92,347 calon atau 23.76 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran, manakala 141,728 calon atau 36.47 peratus pula lulus semua mata pelajaran dengan sekurang-kurangnya gred E,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar turut menunjukkan pengecilan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) calon bandar direkodkan 4.40 mata, manakala luar bandar 4.81 mata.
Beberapa kumpulan sasaran khas turut mencatatkan prestasi membanggakan, termasuk Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, serta Sekolah Integriti dan Henry Gurney yang merekodkan 100 peratus kelayakan sijil.
Daripada keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan, sebanyak 63 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi. Sementara itu peratusan calon yang gagal semua mata pelajaran mencatatkan penurunan kepada 0.42 peratus daripada 388,641 calon menduduki peperiksaan SPM 2025.