Speaker akan umum status kekosongan kerusi DUN – MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 3 Ogos – Status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang kosong dijangka diketahui minggu ini selepas Speaker Dewan Negeri Selangor memuktamadkan kedudukan kerusi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penasihat undang-undang negeri sedang menyediakan nota tentang status kerusi untuk dimaklumkan kepada pihak berkaitan.
  • Keputusan mengadakan PRK bukan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri; ia tertakluk kepada pertimbangan SPR selepas pengumuman rasmi Speaker.
  • Kerajaan Negeri akan menghormati dan akur terhadap sebarang keputusan yang dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, nota berkaitan status kerusi itu kini sedang disediakan oleh penasihat undang-undang negeri sebelum dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

Beliau menjelaskan, keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebaliknya tertakluk kepada pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pengumuman rasmi dibuat oleh Speaker.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan menghormati dan akur terhadap sebarang keputusan yang dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker. Penasihat undang-undang akan menyiapkan nota berkenaan dan saya fikir dalam minggu ini kita akan maklumkan kepada pihak tertentu mengenai posisi dan kedudukan kerusi tersebut.

“Kalau ada kemungkinan PRK, itu adalah keputusan SPR, bukan keputusan saya. SPR akan membuat pertimbangan sama ada tempoh tiga tahun sudah mencukupi atau perlu diadakan PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Selangor dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Shah Alam hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.