
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa operator perkhidmatan air untuk mengambil langkah mitigasi sewajarnya susulan situasi semasa ketegangan laluan perdagangan di Selat Hormuz dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan.
- Pastikan stok bahan kimia dan alat ganti mekanikal serta elektrikal mencukupi untuk tempoh tiga hingga enam bulan.
- Pemantauan semasa menunjukkan tiada kesan ketara lagi, namun risiko kenaikan kos operasi wujud jika konflik berterusan.
- SPAN akan terus menilai impak dan mengemukakan cadangan kepada PETRA; orang ramai diseru menggunakan air dan tenaga secara berhemah.
SPAN memaklumkan langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan termasuk memastikan ketersediaan stok bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal mencukupi bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan akan datang.
Berdasarkan pemantauan semasa, kesan ketara masih belum dirasai operator perkhidmatan air ini kerana kos bahan api masih terkawal seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Manakala harga alat ganti dan bahan pemprosesan juga belum menunjukkan peningkatan mendadak.
Bagaimanapun, SPAN tidak menolak kemungkinan kesan langsung sekiranya konflik berterusan, yang boleh menyebabkan kenaikan kos operasi dan menjejaskan keupayaan operator dalam menyediakan perkhidmatan.
Sehubungan itu, SPAN akan terus menjalankan penilaian impak dari semasa ke semasa dan bersedia mengemukakan cadangan kepada PETRA.
Ia bagi mengurangkan kesan kepada pengguna, di samping memastikan kelangsungan industri.
Pada masa sama, operator perkhidmatan air digesa mengambil langkah mitigasi termasuk memastikan stok bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal mencukupi untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan.
SPAN turut menegaskan komitmennya untuk sentiasa proaktif dalam menilai sebarang risiko terhadap industri serta mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin bekalan air yang berterusan.
Orang ramai juga diseru menggunakan air dan tenaga secara berhemah, khususnya menjelang musim perayaan dan dalam keadaan krisis global semasa.