SERKAM, 1 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyita hampir satu tan barangan terkawal termasuk minyak masak paket bersubsidi bernilai hampir RM7,000.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, dalam dua serbuan di Serkam, pihaknya berjaya membongkar tindakan kedai runcit yang melakukan penyelewengan dengan menyorokkan bekalan barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi yang merupakan lubuk bagi warga asing, telah membawa kepada penemuan kotak-kotak berisi minyak masak.
Barangan tersebut disorok di kaunter pembayaran dan bahagian belakang kedai dengan, modus operandi ditukarkan ke dalam kotak barangan lain bagi mengaburi mata penguat kuasa.
"Kita dapati modus operandi mereka adalah mereka memasukkan ke dalam kotak jenama lain. Mereka terima bekalan dari pembekal, kemudian alihkan ke dalam kotak sabun."
"Maka, bila kita datang periksa, mereka guna taktik itu untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Memang terbukti, menyorokkan bekalan menggunakan taktik sebegitu untuk tutup kesalahan," kata Norena kepada pemberita, hari ini.
Beliau juga menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan yang berkaitan dengan penyelewengan barang kawalan serta di bawah bidang kuasa KPDN melalui saluran yang disediakan oleh pihak kementerian.
Tambahnya, KPDN Melaka sentiasa mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan serta Ops Tiris dan Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di negeri itu, dari semasa ke semasa.