Solar Atap tingkat kemampanan tenaga kendiri

Pemasangan sistem solar di atas bumbung mampu meningkatkan kemampanan tenaga kendiri serta mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 April – Pengguna domestik dan bukan domestik digalak melanggan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) bagi meningkatkan kemampanan tenaga kendiri serta mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik susulan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menggalakkan pemasangan solar bumbung untuk menjana nilai ekonomi melalui pengurangan kos tenaga, bukan aliran tunai langsung.
  • Bagi pengguna bukan domestik, model perolehan seperti pajakan dan sewa beli membolehkan tenaga boleh diperbaharui tanpa modal awal.
  • PETRA merangka penambahbaikan Solar ATAP untuk menjadikan program lebih terjangkau, khususnya bagi pengguna domestik.
  • PETRA menggalakkan cekap tenaga: suhu penghawa ditetapkan 24°C, peralatan cekap tenaga dan manfaatkan skim Tarif Pengguna Masa.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dilaksanakan sejak 1 Jan lepas itu bertujuan menggalakkan pemasangan sistem solar di atas bumbung, seterusnya mewujudkan nilai ekonomi kepada pengguna melalui pengurangan kos tenaga, bukannya aliran tunai langsung.

Menurut PETRA, usaha itu selari dengan pendekatan Malaysia yang menekankan kecekapan tenaga dan mengoptimumkan penggunaan sendiri.

“Program ini dijangka boleh meningkatkan kemapanan kendiri tenaga dan seterusnya mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik semasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi pengguna bukan domestik, pelbagai model perolehan seperti pajakan dan sewa beli solar turut disediakan oleh syarikat pemasangan yang membolehkan penggunaan tenaga boleh baharu tanpa memerlukan modal awal.

“Bagi membolehkan program Solar ATAP ini menjadi lebih terjangkau kepada semua pihak, terutamanya bagi mengimbangi kesan negatif akibat krisis tenaga global, PETRA sedang merangka penambahbaikan ke atas program Solar ATAP, khususnya untuk pengguna domestik,” menurut kenyataan itu lagi.

PETRA memaklumkan pengguna kategori voltan sederhana (MV), voltan tinggi (HV) dan voltan tinggi ultra (UHV) yang memerlukan harga elektrik stabil, program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) boleh dipertimbangkan sebagai pilihan mendapatkan bekalan elektrik hijau untuk jangka masa panjang.

Dalam pada itu, PETRA turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta memanfaatkan skim Tarif Pengguna Masa (ToU) bagi mengoptimumkan kos penggunaan elektrik.

“PETRA yakin bahawa semua inisiatif ini mampu membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos tenaga dan seterusnya menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara untuk jangka masa yang panjang,” menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, usaha itu selaras dengan dasar semasa kerajaan untuk memastikan elemen Energy Trilemma iaitu keselamatan bekalan, mampu bayar dan kemampanan sentiasa terjaga untuk semua.