fb fb fb fb fb

Sokong industri batik, Terengganu isytihar Ahad hari batik

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris (tengah) melawat reruai jualan baju batik Terengganu pada Karnival Beautiful Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Hari Ahad diisytihar sebagai Hari Batik bagi penjawat awam dan seluruh penduduk di Terengganu.

Ini sebagai tanda sokongan kepada industri batik di negeri itu, selain sebagai medium mempromosikannya kepada pelancong luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata penetapan pemakaian batik tidak terhad kepada penjawat awam, malah kepada mereka yang bertugas di sektor swasta, usahawan dan bekerja sendiri turut digalakkan memakainya pada hari tersebut.

"Bagi penjawat awam Negeri Terengganu, ia tertakluk kepada garis panduan etika pemakaian penjawat awam yang akan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Bahagian Sumber Manusia.

"Kerajaan negeri juga bersetuju mengekalkan pemakaian batik penjawat awam pada setiap hari Khamis," katanya selepas selepas merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024 di sini, pada Jumaat.

KBTM 2024 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas bagi mempergiatkan kempen promosi sektor pelancongan dan seni budaya warisan negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN