fb fb fb fb fb

SMK Seri Duyong siap dibina, beroperasi selewatnya Ogos ini - Helmy

Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada program 'Apa Khabau YB' di MELAKAfm hari ini

JALAN TAMING SARI, 9 Mei- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong telah siap dibina dan kini sedang menunggu dokumentasi akhir sebelum ia mula beroperasi selewat-lewatnya pada Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pembinaan SMK Seri Duyong telah merealisasikan hasrat penduduk setempat untuk mendapatkan sekolah menengah baharu.

Tambah beliau, pembinaan sekolah berkenaan yang mampu memuatkan sehingga seramai 900 pelajar itu berupaya mengurangkan kesesakan di sekolah sedia ada lain.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mengambil langkah awal menyediakan barisan pentadbir. Sebaik sahaja urusan dokumentasi ini selesai, guru-guru akan mula masuk ke sekolah dan pada masa sama pengambilan pelajar telah dimulakan.

"Insya-Allah, ia akan dapat mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar," katanya.

Mohd Noor Helmy ditemui pemberita pada program 'Apa Khabau YB' di MELAKAfm dekat sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA