PENGKALAN RAMA, 11 Disember- Penggunaan Smart Hydrobike menjamin kebersihan Sungai Melaka khasnya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.
Basikal air yang dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, dilengkapi sistem perangkap sampah dan mampu membantu proses pembersihan sampah yang terapung di permukaan air.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini sebanyak 10 unit Smart Hydrobike dihasilkan dan enam unit daripadanya diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) untuk digunakan di Sungai Melaka.
"Dimaklumkan ada negeri-negeri yang berminat untuk datang dan melihat sendiri produk ini, sudah pasti pihak PPSPM akan buat kajian, ia menyeluruh sekiranya untuk menambah baik lagi, menambah lagi unit Smart Hyrobike ini di Sungai Melaka", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Ab Yusoh merasmikan produk yang menelan kos RM3 juta hingga RM5 juta di Dataran Pengkalan Rama.
Tambahnya, produk basikal air itu bukan sahaja bagi kegunaan pembersihan sungai malah boleh dibawa beriadah menelusuri Sungai Melaka.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan UTeM itu, bukan sahaja untuk kelestarian alam sekitar, malah membantu kerajaan negeri untuk TMM 2024.
"Dengan kerjasama ini kita berharap supaya impak universiti itu dapat memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya kepada Kerajaan Negeri Melaka dan kita harap ini sebagai titik permulaan untuk kita meneruskan lagi usaha-usaha dalam bidang penyelidikan yang dapat memberi impak, juga manfaat kepada komuniti", katanya.