KUALA LUMPUR, 29 Mac- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berangkat ke Myanmar bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda negara itu baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi pasukan itu, SMART mengesahkan bahawa pasukan MAS-01 telah diaktifkan dan kini dalam perjalanan ke lokasi bencana.
Menurut kenyataan SMART, pegawai dan anggota pasukan telah melaksanakan proses ‘trial loading’ peralatan dan kenderaan operasi ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum berlepas ke Myanmar.
Pasukan itu turut membawa pelbagai peralatan khas penyelamatan bagi menyokong operasi Jentera Urban Search and Rescue (USAR), yang bertujuan meningkatkan keberkesanan misi menyelamat di kawasan runtuhan dan struktur yang terjejas.
Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Seksyen Penyelarasan Operasi dan Seksyen Kewangan serta Perolehan turut melaksanakan koordinasi ‘home support’ bagi memastikan kelancaran atur gerak pasukan SMART sepanjang misi berkenaan.