fb fb fb fb fb

SKoR 2025, pertanian organik sebagai masa depan sistem makanan negara

Foto RTM

BANGI, 23 September  – Pertanian organik disifatkan keperluan mendesak bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail, hanya pertanian organik mampu menjamin hasil optimum, memelihara kesihatan tanah serta mengekalkan keseimbangan ekosistem yang semakin terjejas akibat perubahan iklim dan penggunaan kimia berlebihan.

"Beralih kepada pertanian organik bukan lagi satu pilihan, tiada alternatif lain melainkan kita mesti melakukannya, hanya pertanian organik akhirnya mampu memberikan hasil terbaik untuk manusia dan alam sekitar.

"Kita perlu bermula dari suatu titik, dan Alhamdulillah seminar SKoR ini telah menghimpunkan tokoh akademia, MARDI serta pihak industri untuk membincangkan cabaran dan mencari penyelesaian untuk mengintegrasikan inovasi organik agar sistem makanan negara kekal mampan dan lebih sihat.”ujarnya selepas Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2025 di sini, hari ini.

Tambahnya, SKoR 2025 turut memperkenalkan inovasi baharu seperti CabbioShield, sejenis biopestisida mesra alam hasil penyelidikan MARDI yang mampu mengurangkan serangan reput lembut pada tanaman kubis sehingga 77 peratus dan meningkatkan hasil boleh jual lebih 55 peratus.

Penganjurannya bertujuan membincangkan cabaran, berkongsi inovasi serta mencari penyelesaian bagi memperkukuh pertanian organik agar menjadi sebahagian daripada sistem makanan arus perdana negara.

Menurut Dr Azman lagi, meskipun keluasan tanah organik di Malaysia masih kurang satu peratus, permintaan pengguna terhadap produk organik semakin meningkat dan mereka sanggup membayar harga premium demi kualiti serta manfaat kesihatan.

SKoR 2025 anjuran MARDI dengan kerjasama PETRONAS, Kerajaan Negeri Selangor, Universiti Malaya dan FAMA berlangsung sehingga 25 September di Bangi Resort Hotel, Selangor.

SKoR merupakan platform anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menghimpunkan pemain industri, ahli akademik, penggubal dasar, usahawan, petani serta pelajar dari seluruh negara.

Trainee