KUALA LUMPUR, 23 September - Langkah kerajaan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkannya mampu meringankan kos sara hidup.
Seorang pengguna, Eddie berkata, langkah itu amat membantu golongan penghantar makanan dan pekerja yang menggunakan motosikal setiap hari.
“Kerajaan bagi sumbangan tersebut memang sangat membantu, bukan saja untuk saya tetapi juga rakan-rakan yang buat GrabFood, Foodpanda, semua memang terasa manfaatnya,” katanya.
“Penurunan bersasar ini memang untuk rakyat Malaysia sendiri, bukan orang luar yang tiada MyKad atau guna IC merah,” kata Syarim.
Bagi John pula, inisiatif itu memberi kelegaan besar khususnya kepada pekerja penghantaran.
“Saya sangat gembira, terima kasih kepada kerajaan perpaduan. Dapat pengurangan harga RM1.99 ini memang kurangkan beban untuk kami yang buat kerja runner,” ujarnya.
Sementara itu, Vennisa berkata, penurunan harga ini membantu rakyat yang melakukan perjalanan jauh setiap hari.
“Sebagai pengguna, sudah tentu harga lebih rendah mengurangkan perbelanjaan harian. Ia sangat membantu masyarakat Malaysia, terutama mereka yang perlu ulang alik jauh setiap hari.
“Sudah tentu jimat. Walaupun sedikit, tapi secara kumulatif sepanjang tahun jumlahnya besar. Kita boleh rasa penjimatan itu,” katanya.