fb fb fb fb fb

Skim perlindungan diberi untuk rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Pekerja gig, e-hailing dan p-hailing, akan diberi insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus.

Skim i-Saraan juga diteruskan untuk pekerja informal atau bekerja sendiri yang lain dengan caruman padanan sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi melengkapkan perlindungan sosial dan menggalakkan caruman KWSP di kalangan mereka yang bekerja sendiri serta tidak mampu mencarum perlindungan diri, terutama anak-anak muda.

"Akta Pekerja Gig 2025 telah mewajibkan caruman PERKESO untuk pekerja gig. Kerajaan bersetuju menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig di sektor yang belum dimandatorikan yang pertama kali mendaftar, manakala insentif 50 peratus bagi tahun kedua," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, pencari kerja atau graduan baharu yang menerima tawaran kerja yang perlu berpindah lokasi akan menerima insentif bernilai sehingga RM1,000 daripada PERKESO.

Tambah beliau, PERKESO akan melengkapkan pusat rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan terbaru di Pulau Pinang dengan pusat berkapasiti 250 katil.

Selain itu, PERKESO turut menaikkan kadar maksimum RM170 berbanding RM150 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan implikasi tambahan sebanyak RM52 juta setahun.

Perdana Menteri juga memaklumkan bagi kaum ibu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun selari usia persaraan minimum.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN