fb fb fb fb fb

SK Pasir Puteh, sekolah rendah pertama di Keningau laksana KIS

Lawatan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh

KENINGAU, 14 Julai – Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, merupakan sekolah rendah pertama di Keningau melaksanakan Program Kempen Internet Selamat (KIS) menggunakan modul khas untuk pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kempen anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan KIS di beberapa negeri sebelum ini.

Seramai 120 orang murid berusia antara tujuh hingga sembilan tahun menyertai kempen tersebut yang memberi fokus kepada kefahaman asas penggunaan Internet, fungsi aplikasi digital serta risiko dan ancaman dalam talian.

Sementara itu pihak penganjur memaklumkan, modul khas digunakan untuk memberi pendedahan awal berkaitan had umur minimum memiliki akaun media sosial - iaitu 13 tahun ke atas - selain membimbing murid agar lebih celik terhadap isu keselamatan siber.

Kempen turut memberi penekanan terhadap bahaya penggunaan Internet secara tidak terkawal, di samping menggalakkan pelajar meneroka aktiviti alternatif lebih positif.

Pendekatan berasaskan literasi digital ini diyakini mampu membentuk kesedaran awal dalam kalangan murid sekolah terhadap isu buli siber, pengantunan (grooming) serta kepentingan menggunakan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI