fb fb fb fb fb

Situasi banjir di Segamat tidak berubah, 54 penduduk terjejas masih berada di PPS

Foto APM Segamat

SEGAMAT, 31 Disember- Keadaan banjir di Segamat sehingga pukul 4.00 petang tadi masih tidak berubah.

Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), "kira-kira 54 penduduk terjejas masih lagi berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) daerah berkenaan.

"41 daripadanya ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak yang dibuka sejak 27 Disember lalu," katanya.

Manakala 13 lagi berada di PPS Dewan Komuniti Taman Tasek, yang beroperasi sejak 28 Disember.

"Laluan Kampung Orang Asli Peta di Bukit Cantik, Mersing masih lagi terputus hubungan sehingga kini," katanya dalam satu laporan.

Sementara itu Jalan Johor Bahru-Mersing dan Jalan Jemaluang-Kluang-Mersing yang dinaiki air pagi tadi telah dibuka kepada semua kenderaan.

Bagaimanapun menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di semua 10 daerah di negeri itu pada hari ini, sehingga pukul lima petang nanti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI