fb fb fb fb fb

Siti Afifah dinasihat berubah, henti keluar kenyataan mengelirukan

PUTRAJAYA, 22 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menegur pendakwah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin yang menimbulkan kontroversi di media sosial agar berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Pihaknya juga tidak mempunyai halangan untuk berbincang dan menyampaikan nasihat kepada pasangan suami isteri tersebut serta mengambil pendekatan terbaik bagi menangani perkara ini sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Pendekatannya kita bermusyawarah. Kita berikan nasihat, saya ingat itu adalah pendekatan terbaik. Kita perlu ada pendekatan berbincang dengan baik dan teguran.

Harapan kita menerusi perbincangan itu, beliau akan dapat mendengar nasihat tersebut dan cari jalan yang terbaik, Insya-Allah," kata Dr. Na'im kepada pemberita RTM setelah melancarkan Pelepasan Skuad Musa’adah Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke Pantai Timur bagi menghantar bantuan banjir di Kompleks Islam Putrajaya.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar
melancarkan Pelepasan Skuad Musa’adah di Putrajaya)

Sebelum ini, tindakan Siti Afifah dan suaminya yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan hukum agama telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Tambahnya lagi, beliau menasihati agar semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.

Media Baharu