fb fb fb fb fb

Sistem TOURLIST ganti SPIP bermula November - MOTAC

PUTRAJAYA, 19 September- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menggantikan Sistem Pelesenan Industri Pelancongan (SPIP) kepada Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan atau Tourism Licensing and Enforcement System (TOURLIST) bermula 1 November ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata sistem SPIP sedia ada akan ditutup bermula 1 Oktober untuk memberi laluan kepada fasa perubahan ke TOURLIST yang dijangka beroperasi secara dalam talian pada 1 November.

SPIP merupakan portal MOTAC bagi urusan pelesenan sektor pelancongan termasuk permohonan, pembaharuan dan perubahan status lesen sektor itu.

Selaras penutupan SPIP, tarikh akhir semua permohonan lesen di SPIP seperti Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB), Institut Latihan Pelancongan, Pemandu Pelancong, Bas Persiaran dan Kereta Sewa Pandu (Sabah, Sarawak dan Labuan) dan permohonan Pendaftaran Premis Penginapan Pelancongan adalah pada 30 September ini.

"Semua data permohonan yang berjaya diproses dan dilulus melalui sistem SPIP akan dimigrasi ke sistem TOURLIST dan semakan kelulusan boleh dibuat di sistem TOURLIST," menurut MOTAC.

Permohonan yang tidak berjaya atau tidak lengkap diproses, tidak akan dimigrasi ke TOURLIST, bagaimanapun permohonan yang tidak lengkap diproses boleh membuat permohonan semula di TOURLIST dan layak memohon tuntutan semula bayaran fi proses yang telah dibuat di SPIP.

MOTAC berkata dalam tempoh penutupan SPIP, pemohon masih boleh mengemukakan pemohonan secara manual di kaunter Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (BPPP) MOTAC dan Pejabat MOTAC negeri dengan mengemukakan borang permohonan fizikal yang boleh didapati di www.motac.gov.my bermula 1 Oktober.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri

MOTAC menerusi BPPP akan mengadakan aktiviti rintis 'Pra-TOURLIST Go-Live' pada 27 hingga 30 Oktober secara dalam talian dengan melibatkan penggiat industri yang terpilih bagi merekod dan mengenal pasti kelancaran dan ruang penambahbaikan TOURLIST sebelum ia beroperasi.

“Pengadaptasian teknologi ini menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian, menjamin kelestarian ekosistem serta memperluaskan kebolehcapaian kepada produk serta perkhidmatan pelancongan dan kebudayaan,” menurut MOTAC yang sentiasa menyokong proses pendokumentasian dan pembudayaan kerja secara dalam talian. -BERNAMA

Media Baharu