
PUCHONG, 8 Januari -Bantuan penyaluran bantuan bencana dipercepatkan menerusi penggunaan sistem digital dan kaedah pembayaran elektronik.
- Penggunaan sistem digital dan aplikasi JKM mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.
- Kaedah Electronic Fund Transfer membolehkan wang ehsan diserahkan semasa mangsa masih di PPS.
- Langkah ini mengurangkan tekanan emosi serta memastikan keperluan asas penduduk terjejas dipenuhi.
Tindakan itu sekali gus, mengurangkan tempoh menunggu mangsa daripada beberapa bulan kepada hanya beberapa minggu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan baharu tersebut membolehkan bantuan disalurkan ketika penduduk terjejas masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tanpa perlu menunggu proses pemulihan selesai.
Menurut beliau, pelaksanaan kaedah Electronic Fund Transfer (EFT) dan penggunaan aplikasi digital seperti MyID Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengubah secara ketara pengalaman penduduk terkesan bencana.
“Saya telah arahkan bantuan wang ehsan mesti diberikan ketika mangsa masih berada di PPS. Maklumat kita telah terima, data telah ada, sekarang kita berikan bantuan itu ketika mereka belum balik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga NADMA, di sini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan tekanan emosi penduduk terjejas, selain memastikan kebajikan dan keperluan asas rakyat terus terbela ketika berada dalam tempoh pemindahan.