fb fb fb fb fb

Sisa kimia dikesan dibuang secara haram di Bukit Pelanduk

Foto BERNAMA

PORT DICKSON, 15 Oktober - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) mengesan kes pembuangan haram sisa kimia dipercayai sisa cat dan minyak di kawasan Bukit Pelanduk di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S.Veerapan berkata kira-kira 100 tong berkapasiti 210 liter cat terpakai dan 50 tangki IBC berkapasiti 1000 liter mengandungi minyak ditemukan di kawasan itu.

“JASNS menerima aduan orang awam berkenaan perkara itu semalam melalui aplikasi WhatsApps.

Bertindak atas maklumat berkenaan, unit siasatan JASNS segera bergerak ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut.

“Kawasan pembuangan itu terletak jauh daripada pandangan umum, terlindung di sebalik dinding yang menghalangnya dilihat dari arah jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada label yang terdapat pada bekas-bekas itu, dipercayai telah ditanggalkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Persampelan kandungan sisa bahan kimia telah dilakukan untuk dianalisis Jabatan Kimia secara lebih terperinci.

Laporan polis turut dibuat bagi tujuan pemberitahuan dan pemantauan pihak berkuasa.

"JASNS seterusnya akan menjalankan carian pemilik tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson untuk membantu dalam siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Tindakan perundangan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap pihak yang terbabit. 

Orang awam diseru memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sisa haram bagi membanteras amalan tidak bertanggungjawab ini. -BERNAMA

Trainee2