fb fb fb fb fb

Sindiket edar dadah di Johor tumpas

JOHOR BAHRU, 11 Oktober - Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan pada 3 dan 6 Oktober lalu membabitkan nilai rampasan RM1.2 juta.

Dalam dua serbuan pukul 5.00 petang pada 3 oktober lalu, tiga ahli sindiket termasuk seorang warga asing berumur 33 hingga 40 tahun diberkas di sebuah premis di Kulai dan Johor Bahru.    

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sindiket dipercayai menjadikan premis tayar sebagai tempat pembungkusan dadah sebelum ia dieksport untuk pasaran luar negara.

"Menyembunyikan dadah tersebut di dalam soket lampu led dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk dihantar ke luar negara dan hasil siasatan kita mendapati mereka bergiat dalam menghantar dadah ke luar negara dengan nilai yang lebih tinggi daripada yang kita rampas," kata Kamarul Zaman dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

Menerusi serbuan tersebut dadah bernilai lebih RM341,000 dirampas dengan sitaan berjumlah lebih RM250,000.

Dua ahli sindiket tersebut dipercayai masih bebas giat dikesan bagi membantu siasatan.

Manakala dalam satu lagi operasi dijalankan di Muar pada 3.00 petang 6 Oktober lalu, sebanyak 18 bungkusan dadah jenis syabu bernilai lebih RM652,000 ditinggalkan terbiar di kawasan hutan bakau di perairan tersebut dirampas.

Nilai keseluruhan dadah dan sitaan bagi kedua-dua kes tersebut ialah RM1.2 juta.

Tiga ahli sindiket terlibat direman selama 12 hari bermula 4 Oktober lalu hingga Ahad ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu