KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi mengatur kaunter atau counter setting didalangi penguat kuasa agensi bertugas di pintu masuk udara negara antara yang dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dikemukakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) kepada Menteri Dalam Negeri, yang ingin tahu mengenai langkah tegas kerajaan berhubung perkara berkenaan pada sesi soal jawab lisan.
Turut menarik perhatian, isu pendidikan yang dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai perkembangan usaha membangunkan kemahiran digital pelajar serta kekangan peralatan di sekolah-sekolah luar bandar.
Hassan Saad (PN-Baling) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha dalam mengenal pasti punca pelajar tidak hadir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta langkah memastikan golongan itu tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.
Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember depan.- BERNAMA