fb fb fb fb fb

Sijil, tandatangan palsu kian berleluasa

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 30 November - Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) memberi amaran mengenai peningkatan kes pemalsuan dokumen kejuruteraan yang dilihat semakin membimbangkan dan memberi risiko besar kepada masyarakat.

Pengarah Eksekutif LJM, Ir. Mohd Noramil Mohd Daril berkata, tiga bentuk pemalsuan paling kerap dikesan melibatkan sijil akademik, sijil jurutera profesional, serta tandatangan pada borang teknikal dan dokumen pembangunan.

“Individu tidak berkelayakan yang menjalankan kerja kejuruteraan boleh menyebabkan kecacatan reka bentuk, kerosakan struktur dan membahayakan nyawa,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di sini.

Tambah beliau selain faktor keselamatan, LJM turut menegaskan aktiviti pemalsuan dokumen itu memberi kesan kepada industri seperti kualiti kerja merosot, projek terbengkalai, kos pembaikan semula meningkat serta reputasi sektor kejuruteraan bakal terjejas.

Pengamal dokumen palsu juga menyebabkan persaingan tidak sihat apabila menawarkan perkhidmatan pada kadar yang lebih rendah.

Beliau turut mengingatkan graduan bahawa pendaftaran dengan LJM adalah kewajipan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 sebelum para graduan memulakan pekerjaan bahkan sebelum menghadiri sesi temuduga.

Beliau menjelaskan LJM kini mempergiatkan lagi kempen kesedaran melalui siaran televisyen dan media sosial agar masyarakat tidak terjebak dalam pemalsuan dokumen dan memahami risiko besar yang boleh memudaratkan orang awam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM