fb fb fb fb fb

Sidang KL20: Malaysia sasar sebagai hab pemula niaga, modal teroka

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Penganjuran Sidang Kemuncak KL20 2024 pada 20 hingga 23 April depan merupakan agenda nasional ke arah meletakkan Malaysia pada kedudukan 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemegang taruh yang akan menawarkan peluang dan potensi pelaburan yang lebih baik.

Beliau menjelaskan KL20 Summit 2024 mempunyai penekanan berbeza dan memfokuskan beberapa bidang tumpuan termasuk kecerdasan buatan (AI) peralihan tenaga dan produk digital.

"Kita akan ada penyertaan yang besar dan pengumuman terutama dari kumpulan modal teroka. Itu memberi isyarat besar kepada pengasas permulaan bahawa kerajaan Malaysia berjaya menarik minat daripada pelabur dalam bidang teknologi digital.

"Sekiranya pelabur ini yang kawal dana beratus bilion dolar, berminat untuk mula membuka pejabat, terlibat dan melabur di Malaysia, itu memberi gambaran bahawa ekosistem semakin rancak," katanya dalam sidang media selepas majlis 'KL20 Summit 2024 Soft Launch' di Bangunan Parlimen.

Persidangan itu juga disasar menjadikan Malaysia destinasi pilihan oleh syarikat pemula berpotensi tinggi untuk mewujudkan ekosistem perniagaan.

Ia sekali gus, memperluas jaringan kerjasama dan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan. 

Dalam pada itu ketika diminta mengulas berkenaan Pangkalan Data Utama (PADU), Rafizi berkata ia merupakan komponen penting kepada pembaharuan besar kerajaan. Ketika ini kerajaan fokus untuk memberi keutamaan terhadap isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

"Padu adalah komponen yang sangat penting kepada beberapa pembaharuan besar kerajaan. Pembaharuan pertama dari segi subsidi bersasar.

"Apa yang dipertaruhkan adalah lebih besar daripada ulasan yang diberikan oleh beberapa pihak. Ianya mempertaruhkan kestabilan fiskal negara yang akan membantu puluhan juta rakyat. Kami telah melalui proses ini selama setahun dengan pihak kerajaah dan sebagainya," katanya ketika mengulas berkenaan PADU di sini.

Rafizi turut memaklumkan kadar pendaftaran menersui sistem itu mencecah antara 350,000 sehingga 400,000 sehari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI