fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN: PM teruskan dialog serantau pada hari kedua

Foto BERNAMA

VIENTIANE, 10 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan penglibatan beliau pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini.

Datuk Seri Anwar, bersama-sama dengan pemimpin sembilan negara anggota ASEAN lain dijangka bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25, bersempena ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan.

Selain itu, Perdana Menteri akan menerima kunjungan hormat daripada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Prof Klaus Schwab di NCC.

Beliau juga dijangka turut mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat peringkat tinggi lain.

Ia termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak ASEAN-India, serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Kanada yang memberi tumpuan kepada peningkatan keterhubungan dan ketahanan ASEAN.

Di luar sidang ini, Perdana Menteri juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala termasuk perbincangan dengan Presiden Majlis Eropah yang bakal dilantik, Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Mengiringi Perdana Menteri pada persidangan ini ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada sebelah malam, Datuk Seri Anwar bersama Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tengku Datuk Seri Zafrul akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isterinya, Vandara Siphandone.

Sidang kemuncak akan berakhir pada 11 Oktober, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada majlis penutup.

Pada majlis penyerahan itu, Datuk Seri Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada majlis itu dan Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.

Trainee