Siasatan dakwaan ‘manfaat korporat SPRM’ ikut prosedur rasmi – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Sebarang dakwaan salah laku disiasat mengikut prosedur rasmi bermula dengan laporan Peguam Negara sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat termasuk kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dakwaan salah laku bermula dengan laporan Peguam Negara sebelum keputusan lanjut dibuat.
  • Laporan penuh siasatan akan diteliti dahulu dan skop boleh diperluas jika perlu.
  • Cadangan menubuh RCI dianggap awal sehingga siasatan Peguam Negara selesai.
  • Tindakan susulan hanya diambil jika dakwaan mempunyai asas kukuh, bukan bergantung pada laporan media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan penuh siasatan akan diteliti terlebih dahulu dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat keperluan untuk memperluas skop penelitian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Bloomberg berhubung dakwaan salah guna institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan manfaat korporat.

“Cadangan RCI agak awal kerana siasatan yang diketuai Peguam Negara dijangka siap dalam beberapa hari.

“Kita akan menilai sama ada terdapat rasional untuk melanjutkan siasatan dan bidang apa perlu diteliti.

“Proses akan diikuti; pertama menunggu laporan Peguam Negara, kemudian jika wajar, kita akan pertimbangkan langkah seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini

Tambah Datuk Seri Anwar, sebarang dakwaan salah laku akan diteruskan sekiranya mempunyai asas kukuh tanpa bergantung sepenuhnya kepada laporan mana-mana media.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau yang ingin tahu tindakan khusus boleh dijangka daripada RCI dicadangkan bagi isu itu termasuk skop dan kaedah siasatan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki akan siap beberapa hari lagi.