KOTA KINABALU, 13 Oktober- Sembilan jenis barangan keperluan asas disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Deepavali 2025 dan akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Oktober.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyenaraian barangan ini mengambil kira pandangan daripada rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain industri.
'Antara barangan yang terlibat termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang kecil, bawang merah besar import, kacang dal, dan kelapa, katanya dalam sidang media SHMMP Deepavali 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu.
Peniaga diminta agar mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu pada harga barangan yang dikawal.
Tindakan tegas akan diambil bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut.
Bersempena Deepavali tahun ini juga, KPDN turut melaksanakan program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Deepavali dan Program Servis Ihsan MADANI @ Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Program SIM@PAX ini diadakan di 94 bengkel petronas di seluruh negara bermula 5 hingga 19 Oktober 2025 dan boleh membuat tempahan temujanji tarikh serta lokasi servis melalui aplikasi 'SETEL'.