KUCHING, 11 Mei- Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, mahu Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) diadakan setiap tahun untuk memberi peluang kepada peniaga berniaga bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka serta membina rangkaian destinasi produk makanan.
Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kementerian sedia menyokong dana untuk penganjuran itu kerana budaya dan makanan memeriahkan sektor pelancongan seperti di negara-negara lain.
Jelasnya penganjuran festival itu sebelum ini diadakan secara dwi tahunan, di Kota Samarahan amat bersesuaian dengan populasi penduduk yang tinggi dan hub pendidikan.
Ia menjadikan usaha memperkasa perpaduan melalui pertukaran budaya dan produk makanan menjadi labeih mudah sekali gus mampu menarik kehadiran pengunjung samada dari dalam atau luar Samarahan.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Perasmian Samarahan Food And Cultural Festival SFCF anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan di Kota Samarahan.
Sementara itu Pengerusi Pengelola SFCF, Kaunselor Dr Florince Christy dalam ucapannya memaklumkan SFCF yang diadakan bermula hari ini sehingga 19 Mei depan menyaksikan penyertaan lebih 80 gerai jualan ,pameran agensi, pertandingan tradisi serta persembahan.