Setiap aduan perlu disiasat ikut proses undang-undang – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim/ RTM

PUTRAJAYA, 19 Februari — Sebarang aduan atau dakwaan terhadap mana-mana pihak perlu disiasat secara teliti mengikut lunas undang-undang, bukan berasaskan persepsi, sentimen atau dorongan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan perlu dijalankan mengikut lunas undang-undang, bukan berdasarkan persepsi atau dorongan politik.
  • Tindakan tidak wajar diambil secara terburu-buru tanpa siasatan rapi terlebih dahulu.
  • Hanya selepas siasatan lengkap barulah tindakan atau hukuman boleh diputuskan.
  • Penting bertindak rasional dan berhemah untuk menjaga keadilan serta kepentingan awam dan institusi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tidak wajar diambil secara terburu-buru tanpa siasatan rapi, khususnya melibatkan individu atau pegawai yang telah lama berkhidmat.

Beliau menjelaskan, setiap aduan perlu melalui proses sewajarnya dan hanya selepas siasatan lengkap barulah tindakan atau hukuman diputuskan.

“Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, itu ikut proses undang-undang. Dan kalau ada aduan-aduan yang berat, bawa kepada prosesnya. Sama seperti mana yang dibicarakan sekarang dalam kes SPRM.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di sini.

Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan keadilan terpelihara serta mengelakkan tindakan bermotifkan kepentingan tertentu atau perasaan tidak senang terhadap individu berkenaan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya bertindak secara rasional dan berhemah, terutama dalam menangani isu sensitif yang melibatkan kepentingan awam dan institusi negara.