KUALA LUMPUR, 28 Februari - Lebihan pekerja asing di sektor pengilangan dan perkhidmatan disarankan untuk segera diserapkan ke sektor perladangan komoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini bagi mengatasi kerugian nilai eksport yang dianggar mencecah RM7.9 bilion setahun susulan kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Jelasnya, anggaran kerugian itu mengambil kira nilai ekonomi berdasarkan tuaian satu tan sawit seorang tenaga kerja bagi tempoh 265 hari.
"Kalau daripada segi ekonomi, nilai 40,000 ini boleh menghasilkan 1 metrik tan setahun, kita kekurangan 7.9 bilion nilai eksport, kita berdepan masalah pekerja asing. Mereka dibawa masuk sebagai sektor pembuatan. Berdasarkan statistik kita dapati terlebih 165,000 pengilangan perkhidmatan.
"27,000 mereka ini kalau kita masukkan ke ladang dilihat bagus, tetapi masalahnya mereka dibawa masuk diatas tiket pembuatan dan sektor perkhidmatan, maka mereka tidak mahu bekerja di ladang. Itu yang kita hadapi hari ini, maka KDN dan KSM telah berhentikan kuota membawa pekerja asing dan kita cuba bawa mereka untuk ke sektor ladang," kata Johari menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Ditanya mengenai usaha kerajaan untuk menggantikan tenaga pekerja kepada robotik jelasnya kaedah mengutip hasil sawit tetap memerlukan tenaga mahir yang banyak.
Ke arah itu, usaha untuk melatih tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut turut dilaksanakan menerusi kursus Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).