KIEV, 23 Februari- Rusia melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron pada waktu malam yang menyasarkan Kiev dan bahagian lain di Ukraine.
Menurut pihak berkuasa, serangan tersebut turut menyebabkan seorang maut di Kryvyi Rih dan merosakkan bangunan serta harta benda di Kiev dan tempat-tempat lain.
Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Serhiy Lysak berkata seorang lelaki meninggal dunia di hospital dan seorang wanita berusia 30 tahun cedera parah dalam serangan peluru berpandu di bandar tengah Kryvyi Rih.
"Sebuah bangunan yang menyediakan perkhidmatan infrastruktur juga rosak", katanya menerusi aplikasi Telegram.
Sementara itu, tiga orang cedera dalam serangan dron di wilayah Odesa apabila sebuah rumah terbakar dan beberapa rumah kediaman rosak dalam serangan di wilayah tenggara Zaporizhzhia.
Kedua-dua pihak menafikan serangan menyasarkan orang awam dalam konflik yang berlarutan selama hampir tiga tahun. Ribuan orang awam terkorban yang majoritinya adalah rakyat Ukraine.
Tentera udara Ukraine berkata Kiev dan bahagian tengah serta timur negara itu berdepan serangan udara selama kira-kira enam jam pada waktu malam.-REUTERS