KUCHING, 3 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah dua individu menjadikan angka itu sebanyak 9,314 orang, setakat pukul 8.00 malam tadi.
Jumlah tersebut melibatkan 2,756 ketua isi rumah (KIR) bagi kawasan terjejas banjir.
Menerusi kemaskini laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, terdapat tujuh PPS ditutup, iaitu dua di Samarahan (Dewan Masyarakat Gedong dan Dewan Sri Budaya Kampung Niup); satu di Sibu (Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip); dua di Serian (SK Pangkalan Sorak dan Balai Raya Kampung Melayu Balai Ringin); dan dua di Miri (SK SLDB Ladang 3 Mukah dan Pusat Komuniti Tudan).
Bagaimanapun sebuah PPS baru dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh menempatkan 13 penduduk terjejas terdiri daripada tiga KIR.
Ia menjadikan terdapat 41 buah PPS yang masih aktif melibatkan 23 daerah di negeri itu.
Sementara itu Bintulu kekal mencatat bilangan penduduk terjejas paling tinggi iaitu seramai 4,727 terdiri daripada 1,409 KIR.