fb fb fb fb fb

Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan

FOTO JSPT IPD ARAU

ARAU, 22 November- Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza dengan sebuah lori.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi di Jalan Changlun ke Kuala Perlis berhampiran susur Kampung Paya.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, ketika kejadian kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang peniaga berasal dari Kampung Kuala Sanglang, Alor Setar, Kedah merempuh belakang sebuah lori di mana dua pekerja sedang membuat penyelenggaraan tiang lampu di laluan berkenaan.

"Akibat daripada itu rempuhan itu, mangsa telah tersepit dalam kenderaan dipandu dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa.

"Pegawai Perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah kemudiannya telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,"katanya.

Semenatara itu, pemandu lori mengalami kecederaan pada bahagian muka dan rakannya hanya luka ringan di tangan.

Kedua-duanya telah dibawa oleh ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1981.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE