fb fb fb fb fb

Seorang lelaki parah diserang beruang

Siti Jamilah (kiri) bersama ayahnya menunjukkan gambar Mohamad Zaki yang cedera ketika ditemui di Hospital Gua Musang/Foto RTM

GUA MUSANG, 9 September - Seorang individu parah dipercayai diserang seekor beruang dalam kejadian di Kampung Dalam Senduk, Jerek pada petang Ahad.

Mangsa, Mohd. Zaki Che Mohamed, 33 tahun, cedera dengan kesan koyakan di kepala dan kaki serta mata akibat dicakar haiwan liar itu.

Menurut bapa mangsa, Che Mohamed Konok, 70 tahun, dia dimaklumkan kejadian yang menimpa anak kelima daripada sembilan beradik itu pada pukul 4 petang ketika Muhamad Zaki menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jerek.

Dengan bantuan penduduk kampung dia bergegas membawa mangsa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan seterusnya di rujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Apabila sampai di klinik saya terkejut melihat anak dalam keadaan berlumuran darah dan berada dalam keadaan lemah serta mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kaki. Melihat keadaannya yang cedera parah dan tidak boleh bercakap, kami bergegas membawa ke Hospital" katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.

Manakala adik mangsa, Siti Jamilah Che Mohamed, 22 tahun, berkata dia dimaklumkan oleh seorang penduduk tentang kejadian yang menimpa abangnya itu.

"Abang tinggal bersendirian di rumah lama yang terletak di kawasan kebun namun tidak pernah dimaklumkan tentang kewujudan haiwan liar itu. Mengikut apa yang diceritakan rakannya, dia diserang beruang dan keluar dari kebun seorang diri sebelum mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap, penduduk di kawasan itu perlu berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri ketika berada di kawasan kebun atau keluar mencari hasil hutan.

"Kita berharap penduduk maklumkan perkara ini dan berjaga-jaga kalau ingin masuk hutan atau mahu mengadakan aktiviti-aktiviti di kawasan hutan. Pastikan berdua atau berkumpulan. Saya nasihat berhati-hati dan ambil pendekatan sewajarnya," katanya.

Trainee