fb fb fb fb fb

Seorang kanak-kanak kritikal termakan keropok mengandungi racun tikus meninggal dunia

FOTO FAIL

KULIM, 10 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun kritikal kerana termakan keropok segera yang dicampur dengan racun tikus meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa.

"Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi tadi," perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kulim Supritendan Mohd Azizul Mohd Khairi.

Dalam kejadian 7 Julai lalu, nenek mangsa, Saadiah Yaacob, 62 tahun memaklumkan kedua-dua cucunya, Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, tiga tahun dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, dua tahun mengikut suaminya yang juga datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53 tahun mencari lembu di kawasan berdekatan di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian pulang semula ke rumah dengan membawa dua bungkusan keropok sebelum masuk ke dalam bilik ibu mereka, manakala Saadiah keluar ke kebun getah berdekatan.

Menurut Saadiah, menantunya yang juga ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan memaklumkan kedua-dua cucunya itu menggelupur seperti diserang sawan selain muntah-muntah sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, Supritendan Mohd Azizul memaklumkan dua kanak-kanak berkenaan kritikal selepas termakan keropok segera yang mengandungi racun tikus.

Beliau berkata kejadian disedari ibu mangsa yang berusia 25 tahun kira-kira pukul 11.00 pagi selepas mendapati kedua-dua anaknya muntah dan mulut berbuih setelah termakan keropok segera yang mengandungi racun tikus.

Keropok berkenaan digantung oleh pekebun di dawai besi sekeliling pagar kebun bertujuan memerangkap monyet.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Banggol Berangan, Labu Besar dibawa oleh ibu mereka ke Klinik Kesihatan Malau sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati bahawa kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut kira-kira pukul 7.30 malam.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa telah mengambil dan memakan satu peket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar yang mengandungi racun bagi tujuan untuk perangkap monyet.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF