fb fb fb fb fb

'Sengsara Rasuah' pendedahan eksklusif skandal rasuah bola sepak di RTM

KUALA LUMPUR, 4 Disember - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mendedahkan secara eksklusif kes rasuah yang pernah menggemparkan industri sukan bola sepak tanah air pada tahun 2011.

Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMD TV RTM) akan memaparkan kisah benar mengenai kesengsaraan bekas jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof kerana didapati bersalah memberi suapan kepada 11 orang pemain berjumlah RM24,700.

Dokumentari khas, arahan Azry Ahmad Mustafa Hadi bertajuk "Sengsara Rasuah" bakal menemui penonton pada Sabtu ini (9 Disember) pukul 11.00 malam.

"Dokumentari khas anti rasuah ini dihasilkan bersempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut pada setiap tahun sejak 2003 apabila Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai hari bagi menyedarkan masyarakat dunia tentang kesan buruk rasuah.

"Pengisian 30 minit program ini membawakan secara eksklusif kisah benar mengenai kesengsaraan bekas jurulatih pasukan bola sepak, Yusarman Yusof yang dihukum penjara atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan kerana memberi rasuah kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April tahun 2011 sehingga dibantu agensi Kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan untuk mencari rezeki selepas bergelar bekas banduan," menurut kenyataan RTM hari ini.

'Sengsara Rasuah' turut menampilkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Azam Baki, Presiden Persatuan Pemain Professional Malaysia (PFAM), Safee Sali dan juga Pengurus Pasukan Bola Sepak, Datuk Dollah Salleh.

Kisah benar skandal terbesar mengatur perlawanan bola sepak dalam sejarah negara boleh ditonton menerusi saluran TV1 dan diikuti secara penstriman langsung di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

Pada 2011, Yusarman Yusof dihukum penjara 15 bulan dan denda RM200,000 selepas didapati bersalah atas 20 tuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada pemainnya.

Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor.

Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada mereka.

Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April 2011.

GRACE AISYAH KEDAYAN