KUCHING, 1 Februari- Senator Gabungan Parti Sarawak GPS yang berkhidmat di Dewan Negara diingatkan supaya sentiasa menjaga hak dan mempertahankan kepentingan Sarawak, pesan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Naib Presiden Majlis Senator Malaysia, Senator Datuk Ahmad Ibrahim, pesanan tersebut ditekankan dalam pertemuan Premier dengan empat orang senator GPS di Kuching hari ini.
Tan Sri Abang Johari juga katanya menasihatkan senator terlibat untuk meminta bantuan daripada Pejabat Premier jika memerlukan bantuan guaman berkaitan perlembagaan seperti terjemahan atau tafsiran.
Senator Datuk Ahmad ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak hari ini.
Turut serta, Senator Rita Sarimah Patrick Insol, Senator Susan Chemerai Anding dan Senator Michael Mujah Lihan.