IPOH, 1 Januari- Semua pihak diminta bekerjasama bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rakyat di negeri itu berperanan sebagai duta dalam usaha mempromosi kawasan pelancongan masing-masing.
Berucap ketika merasmikan Tahun Melawat Perak 2024 pada Ahad, Saarani berkata masyarakat juga digalak memanfaatkan sepenuhnya penggunaan platform media sosial bagi menggamit kehadiran pelancong.
Tambahnya lagi, dengan komitmen semua pihak, sasaran kehadiran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara dapat direalisasikan.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, lebih 120 acara telah dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negeri bagi tahun 2024.
Ia melibatkan pelbagai segmen seperti ekopelancongan, kebudayaan, warisan dan gastronomi.