fb fb fb fb fb

Semua kementerian tingkat pemantauan, elak kenaikan harga barangan

Fahmi Fadzil/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Ogos- Semua kementerian diarah meningkatkan pemantauan di pelbagai peringkat bagi mengelak berlaku kenaikan harga barangan.

Perkara itu susulan pengumuman pelarasan gaji penjawat awam bawah skim baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Disember depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini.

Jemaah Menteri juga akan turun padang meninjau kawasan masing-masing atau lokasi yang dirasakan perlu untuk dilaksanakan pemantauan.

"(Ada) keperluan untuk memastikan aspek penguatkuasaan dipertingkat (bagi) memastikan harga barang tidak naik terutama makanan di restoran.

"Ada peringatan khusus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi kementerian-kementerian (lain) juga diminta untuk tingkatkan pemantauan," katanya dalam sidang media di sini.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober depan bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera'.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI