KUALA LUMPUR, 28 Mac- Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April depan.
Ia selaras dengan pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam diminta segera melaksanakan persiapan untuk kembali beroperasi.
Terutamanya, memperbaharui permit atau lesen berkaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) (di Malaysia) atau dengan pihak berkuasa di Singapura.
Selain itu mematuhi SOP kesihatan yang ditetapkan termasuk menyediakan kod QR MySejahtera dalam kenderaan bagi tujuan pengesanan kontak.
“Namun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.
Dalam kenyataan sama, Wee turut memaklumkan, pengembara yang menggunakan kenderaan persendirian berdaftar Singapura untuk ke Malaysia, perlu terlebih dahulu mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi JPJ.
Kenderaan yang berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP.
Ia dilengkapi aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol.
“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol.
Selain itu, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar RC (RM20 setiap kemasukan) apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI - Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan KSAB - Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor Bahru),” katanya.
Beliau berkata bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID manakala yang belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran RC boleh dibuat menggunakan kad Touch n Go.
“MOT (Kementerian Pengangkutan) berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura,” tambahnya.
(GAMBAR FAIL)
Mulai 1 April depan Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
Kebenaran itu terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.