fb fb fb fb fb

Sempena Aidilfitri: Batik Air, MAS, AirAsia tambah penerbangan ke Sarawak

Tiga syarikat penerbangan yang terlibat ialah Batik Air, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia

KUCHING, 13 Mac – Tiga syarikat penerbangan utama bersetuju menambah penerbangan ke Sarawak sempena musim perayaan Aidilfitri bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan ke negeri itu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata syarikat penerbangan yang terlibat ialah Batik Air, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

“Batik Air akan menambah tiga penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dari 26 hingga 31 Mac. Selain itu, dua penerbangan tambahan setiap hari juga akan disediakan bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu dalam tempoh yang sama,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, MAS pula akan menambah satu penerbangan tambahan masing-masing untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu pada 28 dan 29 Mac.

“Selain itu, satu penerbangan tambahan turut disediakan bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching pada 4 dan 5 April, serta satu penerbangan tambahan masing-masing bagi laluan Kuala Lumpur-Miri, Sibu dan Bintulu pada 5 dan 6 April,” jelasnya.

Sementara itu, AirAsia akan menawarkan satu penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu antara 28 Mac hingga 4 April.

“Tambahan satu penerbangan juga akan disediakan bagi laluan Johor-Sibu pada 4 April, serta laluan Johor-Kuching dari 31 Mac hingga 4 April,” katanya lagi.

Tambahnya, langkah penambahan penerbangan ini dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan penumpang serta memastikan kelancaran perjalanan rakyat Sarawak yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

GRACE AISYAH KEDAYAN