fb fb fb fb fb

Sembilan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Seremban

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 24 Disember- Sebanyak sembilan buah rumah setinggan yang menempatkan 51 penghuni musnah dalam satu kejadian kebakaran di Batu 9, Jalan Labu, di sini, kira-kira pukul 9.18 pagi tadi.

‎Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.

‎Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan mangsa selain menyampaikan sumbangan bantuan awal sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas.

"Saya sendiri telah menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM3,000 kepada ketua isi rumah manakala pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan penempatan sementara mereka. Kesemua mangsa telah dipindahkan ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Labu.

Pihak berkaitan akan menyediakan kemudahan yang bersesuaian, sementara kerajaan negeri akan meneliti kemungkinan untuk menawarkan skim perumahan kepada mereka, sama ada melalui sewaan atau sewa beli dengan pihak pemaju, bagi membolehkan mereka mendiami kediaman yang lebih selesa dan selamat," kata Datuk Seri Aminuddin kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban 2, Yusri Abdullah Sani memaklumkan rumah yang mula terbakar terletak di bahagian tengah daripada tujuh unit rumah setinggan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan sekitar.

“Kita berjaya menyelamatkan hampir 16 unit rumah kayu lain yang tidak terbakar. Namun, kebakaran tersebut menjejaskan sembilan unit rumah, dengan lapan unit musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus," kata Yusri Abdullah kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM