fb fb fb fb fb

Sembilan rumah rosak akibat ribut di Kota Setar

Foto: APM Kota Setar

ALOR SETAR, 8 November- Sembilan buah keluarga di dua mukim di daerah Kota Setar, Kedah berdepan detik cemas selepas kediaman mereka dilanda ribut, petang tadi.

Kejadian melibatkan tujuh buah rumah di Kampung Kubang Bongor, Mukim Padang Lalang dan dua rumah di Kampung Kubang Jambu, Mukim Kubang Rotan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar dan Pokok Sena,Kapten (Pertahanan Awam) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang apabila hujan lebat serta angin kencang melanda beberapa kawasan.

Kejadian menyebabkan beberapa buah rumah kediaman mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung.

Pemantauan berterusan dilakukan oleh anggota APM bagi mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terlibat.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI