(Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Majlis
Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di WTCKL/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 19 Julai- Semangat hijrah perlu dijelmakan sebagai lambang kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa demi membangunkan sebuah negara pertiwi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sirah penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar pada 1,400 tahun lalu, wajar dijadikan pedoman dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.
Baginda turut menghargai usaha menggerakkan agenda Malaysia Madani yang digagaskan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ia berperanan membentuk masyarakat yang menghayati nilai ihsan, selain mendokong prinsip keadilan serta mengamalkan semangat toleransi
"Beta turut menghargai pelaksanaan pelan transfomasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah.
"Selain itu, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia", titah Baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
(Yang di-Pertuan Agong berkenan bertitah pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di WTCKL/BERNAMA)
Sementara itu, Sultan Abdullah turut bertitah agar rakyat sentiasa menjaga tutur kata ketika berkomunikasi.
Ini penting bagi menjaga keharmonian dalam pekerjaan, selain jujur dan amanah ketika menjalankan tugas demi mencipta kejayaan.
"Bersempena dengan kedatangan Tahun Baharu Hijrah, marilah kita bersama mensyukuri akan nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang telah kita kecapi. Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanahair ini, sebagaimana cinta-Nya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda.
"Mengambil ibrah daripada peristiwa Hijrah ini, beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan", titahnya.
Selain itu, Baginda turut bertitah agar rakyat menjauhi sikap negatif termasuk perasaan hasad dengki, fitnah selain menjauhi pemikiran sempit dan prasangka.
"Jauhilah perasaan hasad dengki fitnah menfitnah, jauhilah pemikiran 'judgemental', sempit dan negatif", titahnya.
Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda berdua diringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia Madani’, seramai 6,000 tetamu hadir terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen.
Tema itu merupakan manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW yang cukup signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di Malaysia.