fb fb fb fb fb

Semakan semula projek pembinaan yang mengambil masa terlalu lama untuk siap

Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan

SEREMBAN, 14 Mei - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesyorkan pengkajian semula dilakukan terhadap tempoh pelaksanaan projek yang terlalu panjang untuk disiapkan, supaya ia dapat disingkatkan.

Langkah itu bagi memberi manfaat kepada rakyat selain dapat menjimatkan kos.

Menurut Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan, amalan terbaik yang dipraktikkan negara luar seperti China dan India dalam menyiapkan projek seperti perumahan, pembinaan jambatan serta lebuhraya perlu dicontohi.

"Kenapa perlu ada amalan terbaik satu ialah faedah untuk rakyat, yang kedua dia boleh menjimatkan kos kerana lagi lambat menyiapkan projek lebih tinggi kos yang dikenakan," kata Ahmad Maslan kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sendayan, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk membaik pulih jalan di Kampung Batu 3 Mambau yang terhakis akibat hujan lebat.

Sementara itu, Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah SK Sendayan bermula Disember 2020 dan siap sepenuhnya pada April lalu menelan kos sebanyak RM8.173 juta.

Antara skop projek ini adalah kerja-kerja meroboh bangunan sedia ada yang uzur dan membina dua blok bangunan gantian empat tingkat. 

Pelaksanaan projek ini juga dapat membantu dalam menangani isu kepadatan pelajar serta memberi keselesaan kepada 500 orang pelajar yang terdiri daripada penduduk Felda Sendayan.

TETITIA YUSOFF