fb fb fb fb fb

Semakan kadar yuran perundingan GP swasta dimuktamad dalam masa sebulan

Memorandum Jemaah Menteri dan surat pekeliling mengenainya sudah disediakan

KUALA SELANGOR, 3 Mei - Semakan kadar yuran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta akan dimuktamadkan dalam masa sebulan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika memberi jaminan itu memaklumkan, Memorandum Jemaah Menteri dan surat pekeliling mengenainya sudah disediakan.

Ia dijangka dibentangkan dalam tempoh sama.

"Sejurus saya selesai membentangkan dan mendapatkan kelulusan (Jemaah Menteri), ia akan dilaksanakan kerana Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sudah bersetuju (bagi semakan yuran itu),” katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah di sini hari ini.

Semakan kadar yuran perundingan GP swasta itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

Penelitian tertumpu kepada analisis simulasi dan penetapan julat harga yang lebih munasabah.

Yuran berkenaan disenaraikan di bawah Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Pada 14 Mac lalu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira menyuarakan harapan agar kadar yuran perundingan GP swasta dinaikkan kepada minimum RM60.

Ini berbanding kadar semasa iaitu antara RM10 hingga RM35.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR