fb fb fb fb fb

Seludup emas, 2 rakyat Malaysia selesai jalani hukuman penjara

Foto Hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September- Kementerian Luar Negeri Malaysia mengesahkan dua warganegara Malaysia dibebaskan pada Jumaat (20 September) berikutan perintah Mahkamah Bangladesh selepas selesai menjalani hukuman kerana menyeludup emas ke Bangladesh.

"Mereka dijangka kembali ke Malaysia tidak lama lagi," menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Kementerian itu, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka memberikan bantuan konsular kepada kedua-dua individu itu sepanjang penahanan mereka, menurut kenyataan berkenaan.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular," katanya.

Kementerian mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa penyeludupan emas adalah jenayah serius di Bangladesh dan boleh membawa hukuman mati.

"Oleh itu, kementerian menggesa semua rakyat Malaysia untuk menghormati undang-undang dan peraturan tempatan dan mengelak daripada terlibat dalam sebarang aktiviti haram semasa melancong ke luar negara," katanya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM