fb fb fb fb fb

Selepas 44 hari, kotak hitam helikopter AW139 ditemui

Anggota Maritim Malaysia membawa kotak hitam helikopter AW139 yang ditemui di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA LUMPUR, 17 April - Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), AW139 yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor telah ditemui hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata, Kotak hitam berkenaan ditemui pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas misi pencarian memasuki hari ke-44 setelah ekor pesawat helikopter terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

"Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

"Pihak Maritim menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk," katanya.

Terdahulu operasi pencarian kotak hitam berkenaan telah membabitkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

GRACE AISYAH KEDAYAN