KUALA LUMPUR, 1 April- Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu kediaman jangka masa sederhana kepada penduduk terkesan insiden ebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan proses baik pulih kediaman terjejas dalam insiden itu dijangka mengambil masa panjang.
"Keutamaan kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan kini adalah keselamatan, kebajikan dan keselesaan semua penduduk yang terkesan. katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
"Saya menggesa keluarga yang terkesan di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai untuk mendaftarkan diri bagi membolehkan mereka menerima bantuan dengan segera di Unit Pengurusan Bencana Negeri di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights," menurut kenyataan itu.
Menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor 180 penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru telah didaftarkan dan sedang berlindung di pusat pemindhaan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Kini terdapat 78 rumah yang mengalami kebakaran teruk dan belum selamat didiami, manakala 10 rumah kedai musnah sepenuhnya.
Sementara itu laporan analisis Pusat Kawalan Tempat Kejadian, kira-kira 327 kenderaan turut musnah akibat api yang marak dalam insiden tersebut.
Amirudin berkata siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung punca sebenar kebocoran saluran gas serta letusan yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk dengan skala begitu besar.
"Sesiapa yang mempunyai bukti dan maklumat berkenaan apa jua salah laku digesa untuk menyampaikan laporan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai proses siasatan ini.
"Di samping itu, saya mendoakan agar semua mangsa terutamanya mereka yang sedang dirawat di hospital pulih sepenuhnya, dan saya memberikan jaminan bahawa kepentingan penduduk akan menjadi keutamaan dalam menyelesaikan hal ini," tambah kenyataan itu.